Matlamat utama pendidikan di Malaysia ialah untuk
menampung keperluan tenaga kerja dan mencapai perpaduan negara melalui
perkembangan individu yang bersepadu dan menyeluruh dari segi jasmani, emosi,
rohani, intelek dan sosial (JERIS)
selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK). Bagi menyempurnakan hasrat
FPK ini, para guru telah diamanahkan untuk menjalankan tanggungjawab sebagai
pendidik bukan sahaja dari segi penyebaran ilmu bahkan dalam pembentukan
sahsiah anak didiknya. Generasi yang berilmu dan berakhlak tinggi dapat
melahirkan bangsa yang bertamadun. Pihak pentadbir dan perancang sentiasa
mengharapkan agar guru mempunyai cita-cita unggul iaitu membina masyarakat yang
bertamadun tinggi. Apabila FPK dihayati, guru harus sedar bahawa mereka
sebenarnya memikul tanggungjawab yang amat berat. Guru perlu mencurahkan ilmu
sama ada pelajarnya mahu atau tidak mahu menerimanya.Di samping itu mereka
harus peka dengan perubahan semasa dan menyesuaikannya secara bijak bagi
menangani masalah pengajaran dan pembelajaran terutama yang berkaitan dengan
disiplin pelajar. Pada amnya, guru seharusnya pakar atau profesional dalam
segala bidang. Untuk menjadi guru yang profesional, seseorang guru itu perlu
menekankan tiga aspek penting dalam dirinya iaitu kepakaran, pengetahuan dan
pembentukan sahsiah (Robiah, 1998).
Guru bukan sahaja berkemahiran mengajar dan mengembangkan
ilmu, malah sikap, tingkah laku dan disiplin diri harus dibentuk ke arah
profesional. Kementerian Pendidikan telah berusaha sejak dari dulu lagi untuk
menjadikan bidang perguruan ini sebagai satu kerjaya yang profesional. Laporan
Suruhanjaya Diraja mengenai Perkhidmatan Perguruan Malaysia Barat (Laporan
Aziz, 1971), telah mencadangkan supaya diadakan Etika Profesion Perguruan (EPP)
bagi Pembentukan Tatasusila Guru. Semua guru yang telah memperolehi sijil
perguruan perlu mematuhinya. Namun begitu, sehingga ke hari ini masih mendengar
berita-berita yang tidak menyenangkan baik dari segi tindakan atau hukuman
terhadap pelajar yang melampau mahupun salah laku guru sendiri yang mencalar
kewibawaan profesion perguruan ini. Dalam usaha untuk memastikan martabat
pendidikan terus terpelihara dan tidak terpinggir dalam perubahan arus zaman. Etika
Profesion Perguruan harus dikaji semula. (Najib, 1971).
Pengamalan EPP dalam kalangan guru adalah penting demi
memartabatkan profesion perguruan supaya sentiasa dipandang mulia oleh
masyarakat. Kejayaan dan pencapaian matlamat pendidikan berkait rapat dengan
kesedaran guru terhadap tanggungjawabnya sebagai pendidik selaras dengan EPP
yang telah termaktub dalam ikrar seperti berikut;
“Kami guru Malaysia, yakin bahawa tujuan utama pendidikan
ialah berusaha menuju ke arah pembentukan warganegara yang berilmu, taat setia,
bertanggungjawab dan berkebolehan....
... dengan menyedari betapa besarnya tanggungjawab
bimbingan anak muda untuk mencapai kemajuan
sepenuh-penuhnya, maka dengan ini kami menerima tatasusila berikut
sebagai panduan.”
Dari penyataan ikrar dan kod EPP di atas, guru
sesungguhnya mempunyai beban yang berat untuk melahirkan modal insan yang
berkualiti dan berketerampilan.
Salah laku Guru
Hukuman terhadap murid
Kejayaan
dan keberkesanan pendidikan banyak berkait rapat dengan kesedaran, keinsafan
dan tanggungjawab guru sebagai pendidik, di samping mempunyai kelengkapan
keilmuan yang cukup dan sahsiah luhur.
Segala panduan dan kemahiran disertai keluhuran budi serta peribadi
tidak terpisah daripada seseorang
guru. Begitulah sewajarnya guru sebagai
pendidik yang berkesan. Mereka adalah
contoh dan teladan untuk murid, pelajar dan masyarakat.
Namun sejak akhir-akhir ini kita dihidangkan tentang
berita mengenai guru mencederakan pelajarnya dengan alasan yang tidak munasabah
seperti datang lewat ke sekolah, tidak membawa buku latihan, tidak menyiapkan
kerja sekolah dan beberapa kesalahan kecil yang lain yang dilakukan oleh
pelajar. Kita sedar bahawa guru bertindak sedemikian kerana ingin mendidik
pelajar supaya pelajar tidak lagi mengulangi kesalahan yang sama tetapi
perbuatan guru yang mendenda pelajar dengan keterlaluan sehingga mendatangkan
kecederaan yang serius merupakan satu tindakan yang melampau malah turut
menimbulkan kemarahan ibu bapa. Kesannya, bukan sahaja imej guru tersebut yang
tercalar malahan imej profesion keguruan turut menerima tempiasnya.
Cabaran
dalam bidang pendidikan kini semakin besar dan mencabar. Tanggungjawab seorang
guru semakin bertambah kerana guru bukan sahaja sebagai pendidik tetapi turut
menjaga murid di sekolah. Bebanan guru
makin banyak turut menuntut kesabaran serta ketanggungjawaban yang amat
hebat. Kalau dulu guru sering
diagung-agungkan dan disanjungi sebagai insan yang terhormat oleh para pelajar,
ibu bapa dan masyarakat seluruhnya. Namun,
hari ini sering kita dengar sebahagian besar pelajar sekolah tidak menghormati
guru mereka. Guru-guru diperlekehkan oleh
ibu bapa pelajar yang mempunyai taraf hidup yang agak baik. Guru-guru disaman atas kesalahan yang tidak
setimpal dengan pengorbanan yang diberi. Rasa hormat murid semakin pudar
bersama keangkuhan ibu bapa yang tidak menitikberatkan pelajaran dan menunding
jari kepada guru di atas kesalahan,
kealpaan dan ketidakprihatinan
mereka sendiri dalam mendidik anak-anak. Guru sudah hilang kuasa dalam mendidik
melalui rotan kerana ibu bapa pada masa kini yang terlalu memanjakan anak-anak.
Pada pandangan saya, sewajarnya ibu bapa akur tugas guru bukan hanya mengajar mata
pelajaran untuk lulus peperiksaan, tetapi turut mendidik pelajar menerusi
penerapan nilai-nilai murni, selain jati diri, disiplin serta sahsiah terpuji. Namun begitu, kebanyakan ibu bapa mengutamakan
kecemerlangan akademik semata-mata dan bukan sahsiah yang baik menyebabkan anak
mereka tidak boleh ditegur walaupun melakukan kesalahan. Corak pendidikan pada suatu ketika dahulu
yang begitu tegas sehinggakan murid takut untuk meniru, tidak menyiapkan kerja
sekolah apatah lagi datang lewat ke sekolah. Suatu ketika dahulu, sekiranya ada
murid melakukan kesalahan murid-murid akan mendapat ganjaran dan hukuman yang
setimpal dengan kesalahan yang telah dilakukan.
Namun, sedarkah kita didikan guru pada masa lalu yang
membentuk masa depan kita pada hari ini? Kerana rotan cikgu, saya berjaya.
Tindakan tegas seorang guru hanyalah untuk mendidik anak didiknya supaya
berjaya di masa hadapan. Ibu bapa pada ketika itu menyerahkan kuasa merotan
kepada guru-guru untuk membentuk anak-anak mereka. Kalau kita menyoroti
peristiwa lampau, tidak ada kes yang melibatkan guru menampar dan menyepak
murid. Malah, tiada kes guru disaman pun pada ketika itu walhal murid yang
nakal selalu dirotan di sekolah.
Pada pengamatan saya, ibu bapa pada hari inilah memainkan
peranan penting dalam mencorak perubahan tingkah laku murid-murid di sekolah.
Tindakan ibu bapa yang menyorok kesalahan anak menyebabkan murid tidak takut
untuk melakukan kesalahan kerana ibu bapa boleh bertindak sebagai pembela.
Terdapat juga ibu bapa yang tidak dapat menerima hakikat
bahawa anak mereka bersalah dan tidak
mengakui kesilapan yang telah dilakukan. Ibu bapa seharusnya perlu berbincang
terlebih dahulu dan jangan terburu-buru menyerang pihak sekolah atau membuat
pendedahan pada media. Mendidik anak
perlu mengikut peredaran masa dan guru perlu menghukum pelajar yang melakukan
kesalahan dengan bijaksana.Hukuman yang dikenakan adalah proses
mendidik dan bukan memalukan pelajar, sekali gus memberi keinsafan dan
kesedaran terhadap salah laku yang dilakukan.
Setiap
perkara yang berlaku pasti ada punca atau penyebab berlakunya sesuatu perkara.
Guru juga manusia biasa yang mempunyai tahap kesabaran yang berbeza. Guru
bertindak diluar batasan juga berpunca dari sikap ibu bapa yang terlalu membela
anak sehinggakan di sekolah juga pelajar berani melanggar peraturan dan arahan
guru, tidak menghormati guru kerana sikap pembela ibu bapa yang tidak
bertempat. Keadaan ini akan memberi tekanan kepada perubahan sikap seorang guru
daripada seorang guru yang lemah lembut menjadi pembengis di sekolah.
Selain
itu, tekanan kerja merupakan kedua yang
menyebabkan guru melakukan kesalahan yang boleh mencalarkan imej guru. Tugas
guru bukanlah satu tugas yang mudah untuk dipikul. Tuntutan kerja merupakan
tuntutan yang berat lebih-lebih lagi menjadi guru pada zaman teknologi dan
dunia tanpa sempadanini. Tugas guru bukan hanya mendidik, mengajar dan
membimbing pelajar. Selain daripada itu, guru juga banyak menerima tekanan
daripada ibu bapa, masyarakat, kerajaan, pertubuhan, pihak atasan dan juga
masalah peribadi. Masyarakat melihat tugas guru adalah mudah, masa kerja yang
pendek dan banyak cuti. Guru pula berasa beban kerja yang terlalu banyak
sehingga membawa ke bilik tidur. Kerja lebih masa yang tidak dihargai.
pandangan dan persepsi yang berbeza akan menyebabkan segelintir guru kecewa.
Tekanan yang diterima ini akan menyebabkan guru cepat melenting dan melepaskan
kemarahan terhadap pelajar.
Sesungguhnya
profesion keguruan yang merupakan profesion tertua di dunia, kini memasuki satu
lagi era baru. Dulu peranan utama guru
ialah sebagai penyampai pengetahuan.
Gurulah yang banyak bercakap dan menyoal. Bagaimanapun kini, peranan guru lebih penting
sebagai pemudah cara dalam proses pembelajaran.
Sebagai pemudah cara, guru perlu lebih sedia dan peka melahir dan
menggunakan situasi-situasi pembelajaran secara cekap dan berkesan. Murid
perlu selalu digerak untuk berfikir secara kreatif dan kritikal. Malahan, murid dijangka dapat menyoal guru
serta membantu guru membuka luas pintu pembelajarannya. Dahulu, punca pengetahuan adalah dalam bentuk
bertulis. Sekarang, lebih banyak bilik
darjah ditukar menjadi bilik darjah bestari yang membolehkan pelajar
menggunakan komputer untuk mencari lebih banyak pengetahuan dan maklumat. Bagaimanapun, kehadiran guru penting untuk
membimbing pelajar membuat pilihan ilmu dan maklumat yang betul.
Selain itu, guru harus berperanan untuk mengenal pasti
dan membangunkan potensi diri pelajar.
Peranan guru ini amat penting dalam menentukan corak pembangunan
sesebuah negara. Kita perlu sedar, kejayaan negara sehingga kini, sebahagian
besar adalah hasil sumbangan kerjaya keguruan.
Ini kerana persediaan bagi pengeluaran
tenaga kerja negara di semua sektor bermula dari sekolah yang sudah
pastinya memerlukan khidmat dan jasa guru.
Guru juga adalah model manusia
berkelakuan baik. Guru mesti
bebas daripada bersikap negatif dan sempit daripada aspek bangsa, kelas, sosial
dan kedaerahan.
1 comments:
Thanks for sharing
Post a Comment