Aplikasi Pendidikan Holistik Dapat Menyumbang Kepada
Pembangunan Negara.
Pendidikan ialah
proses pembangunan insan sepanjang hayat.
Pendidikan adalah salah satu bentuk perwujudan kebudayaan manusia yang
dinamis dan sarat dengan perkembangan. Perubahan atau perkembangan pendidikan
adalah perkara yang seharusnya dilakukan seiring dengan perubahan budaya
kehidupan manusia yang sentiasa berubah-ubah. Perubahan pendidikan yang menuju
kearah pendidikan yang jitu, padu dan sempurna pada semua peringkat perlu terus
menerus dilakukan sebagai intipati kepentingan masa depan negara. Maka ia tidak
boleh diserahkan kepada satu ajensi sahaja. Pendidikan tidak formal dalam
masyarakat melalui berbagai saluran dan pendidikan formal disekolah semuanya
mempunyai saham tertentu dalam pembangunan modal insan( Kamal Hassan, 1988).
Pendidikan
yang mampu mendukung pembangunan di masa hadapan adalah pendidikan yang mampu
mengembangkan potensi individu seseorang pelajar dan bukannya menilai individu
berasaskan keputusan gred semata-mata, sehinggalah individu tersebut mampu menghadapi cabaran dan menyelesaikan
masalah kehidupan yang bakal dihadapinya. Pendidikan harus menyentuh potensi
rohani mahupun potensi kompetensi seseorang pelajar. Mengikut teori Dr. Howard
Gardner, beliau menyatakan setiap individu mempunyai kecerdasan dan potensi
yang berbeza-beza yang berkaitan dengan berbagai fungsi. Semua kecerdasan tersebut
dipergunakan tetapi pada kadar-kadar yang berlainan dan mestilah berada dalam
keadaan yang aktif untuk membolehkan proses penjanaan idea-idea baru. Maka
teori kecerdasan Gardner ini telah merevolusikan pengajaran dan pembelajaran
pada masa kini serta boleh dijadikan panduan untuk perubahan ke arah
perkembangan pendidikan negara.
Justeru, konsep pendidikan haruslah mengalami
perubahan seiring dengan perubahan budaya kehidupan manusia. Apa yang berlaku pada masa kini
adalah,masyarakat terlalu berkehendakkan pendidikan yang mampu mengikuti
kehendak mereka dimana pendidikan tidak lagi dipandang sebagai suatu wadah yang
mampu membina keutuhan masyarakat, kerana Semua ini berlaku akibat
sentimen kebendaan yang semakin menular akibat daripada pengaruh sekularisma
dan arus perubahan globalisasi ( Edupres Jurnal, 2011). Bertitik tolak dari
inilah terasa semakin penting apabila seseorang pelajar yang akan membesar
memasuki kehidupan bermasyarakat dan berkerjaya, kerana mereka harus mampu
menerapkan apa yang dipelajari di sekolah untuk menghadapi masalah dan cabaran yang
dihadapi dalam kehidupan sehari-hari mereka mahupun yang akan datang.
Pendidikan
merupakan proses sistematik untuk meningkatkan martabat manusia secara holistik.
Justeru itu, kerajaan haruslah mengambil satu langkah baru sebagai inisiatif
untuk melakukan perubahan dalam bidang pendidikan. Ditambah pula dengan sejarah
menunjukkan sistem pendidikan negara kita sudah lama tidak dirombak iaitu sejak
1979 lagi. Rombakan menyeluruh dasar pendidikan yang diumumkan oleh kerajaan
baru-baru ini memberi seribu satu makna kepada sistem pendidikan negara pada
masa akan datang. Pada asasnya, sistem pendidikan negara tidak boleh sesekali
statik, sebaliknya perlu sentiasa dinamik mengikut keperluan pada masa kini dan
hadapan. Untuk merealisasikan dasar pendidikan yang baru ini, satu langkah
harus dibuat iaitu dengan menerapkan pendidikan secara holistik bersama-sama
dengan pendidikan arus perdana yang tersedia ada bagi mempersiapkan pelajar
untuk menghadapi cabaran seharian dan masa hadapan mereka.
Kajian
yang dilakukan oleh Tonia T. Lennox dalam tesis beliau yang bertajuk “ Education Towards Integration: An
Alternative Programme, 2009 ” menyatakan, sistem pendidikan yang lama
haruslah mengalami perubahan dalam menghadapi cabaran globalisasi pada masa
kini. Beliau berpendapat pendidikan secara holistik amat membantu dimana
pendidikan ini menekankan aspek matlamat seseorang individu, pembelajaran
melalui pengalaman serta, nilai sensitiviti perhubungan sesama manusia dan alam
sekitar. Manakala berbeza dengan Kaedah pendidikan tradisional, digambarkan
sebagai yang dikawal oleh kalendar dan jadual waktu, di mana peluang kepada
pelajar adalah terhad serta menggalakkan kaedah pembelajaran hafalan buku teks
atau lembaran kerja berjilid dan berpusatkan guru.
Ini amat
bertepatan dengan pendapat berdasarkan daripada satu rencana yang penulis baca
dari Utusan Malaysia bertarikh 20 Mac 2012, bertajuk “ Kearah sistem pendidikan
Holistik “ yang dikarang oleh Rohami Shafie, Pensyarah Kanan di Kolej
Perniagaan, Universiti Utara Malaysia. Beliau menyatakan bahawa masih terdapat kelemahan dalam sistem
pendidikan negara. Paling ketara sistem pendidikan negara terlalu menumpukan
aspek kejayaan meritokrasi melalui penilaian berasaskan peperiksaan semata-mata
dengan meminggirkan aspek akhlak mulia para pelajar. Beliau berpendapat perkara
inilah yang perlu dikaji sedalam-dalamnya dan bukan sekadar melahirkan generasi
muda yang dikatakan amat berjaya mengikut acuan sistem meritokrasi sedia ada.
Beliau mengesyorkan agar sistem meritokrasi ini dikaji secara menyeluruh kerana
tidak mustahil ia boleh membawa bahana kepada negara. Dengan menerapkan sistem
pendidikan yang lebih holistik dan menyeluruh kelemahan sistem pendidikan
negara yang ada sekarang dapat dikurangkan dan diatasi secara tidak langsung.
Ini kerana pendidikan holistik merupakan suatu konsep yang memastikan setiap
individu merasai dan menikmati kehidupan mereka serta menghargai dan menilai
semula pembelajaran, potensi dalaman seperti kecerdikan, kreativiti dan
nilai-nilai kerohanian.
Pendidikan
holistik adalah satu bidang pendidikan yang sangat mendalam untuk dikaji.
Terdapat ramai tokoh-tokoh pendidikan yang membahaskan dan mencetuskan pendapat
dalam konsep pembelajaran secara holistik ini. Antaranya ialah Ron Miller
(2005), beliau berpendapat pendidikan holistik merupakan suatu falsafah
pendidikan yang terwujud daripada pemikiran bahawa pada dasarnya seorang
individu dapat menemukan identiti, makna dan tujuan hidup melalui hubungannya
dengan masyarakat, lingkungan alam, dan nilai-nilai spiritual. Jelas beliau
juga pendidikan holistik ini berkeupayaan menanam kecintaan terhadap
pembelajaran. Secara historis, pendidikan holistik sebenarnya bukan perkara
yang baru. Pendidikan
holistik berkembang sekitar tahun 1960-1970 akibat daripada keprihatinan
terhadap krisis ekologi,pencemaran nuklear, kimia dan radiasi, serta kehancuran
keluarga dimana hilang dan hancurnya nilai-nilai tradisional serta
institusinya.
Tujuan
pendidikan holistik adalah membantu mengembangkan potensi individu dalam
suasana pembelajaran yang lebih menyenangkan dan menggairahkan, demoktarik dan
menerapkan nilai-nilai kemanusiaan melalui pengalaman dalam berinteraksi dengan
persekitarannya. Melalui pendidikan holistik juga, pelajar diharapkan dapat
menjadi dirinya sendiri dalam erti kata lain dapat memperolehi kebebasan
psikologi, mengambil keputusan yang baik, belajar melalui cara yang sesuai
dengan dirinya, memperoleh kecekapan sosial, serta dapat mengembangkan karakter
dan emosionalnya (Basil Bernstein, 2000). Pendidikan
holistik sebenarnya membabitkan pelbagai aspek seperti proses pembelajaran,
cara berfikir, kemahiran berkomunikasi, proses pengajaran lebih menarik seperti
menerusi permainan dan pengendalian aktiviti luar, disiplin diri, keyakinan
diri, tanggungjawab, pemikiran kreatif dan kebolehan menyelesaikan masalah.
Hasil
pembacaan dan pengamatan penulis, boleh dirumuskan bahawa terdapat elemen-elemen
yang terkandung dalam pendidikan holistik di mana pendidikan ini menitikberatkan
kepada potensi setiap individu dari aspek kepandaian, emosi, sosial, fizikal,
kesenian, kreatif dan keupayaan rohani. Jelas menunjukkan bahawa, pendidikan
holistik ini masih sejajar dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan Malaysia yang
mana pendidik perlu berusaha memperkembangkan potensi individu secara
menyeluruh dan bersepadu untuk melahirkan insan yang seimbang dan harmonis
daripada segi intelek, rohani, emosi, sosial dan jasmani berdasarkan
kepercayaan dan kepatuhan kepada tuhan.
Hujahan
ini dapat disokong lagi dengan laporan yang penulis baca daripada laporan
berita pendidikan Berita Harian, bertajuk “ Pendidikan Holistik “ yang
diberitakan oleh wartawan Noor Azlina Zainudin.
Rangkuman maklumat berita tersebut beliau perolehi di Perbincangan Meja
Bulat Mengenai Pendidikan Holistik anjuran Institusi Pendidikan Kanak-kanak dan
Remaja, WynKids di Kota Damansara. Panel-panel yang terlibat di dalam
perbincangan ini rata-rata berpendapat bahawa sistem pendidikan negara sekarang
adalah berasaskan peperiksaan dan perlu diperbaiki. Situasi yang berlaku
mengakibatkan pelajar diarah mendengar penerangan guru dalam kelas, bukan
bertanya apabila tidak faham. Keadaan ini menyebabkan pelajar berasakan
bertanya soalan adalah satu kesalahan dan mereka cuma perlu mendengar,
mengumpul seberapa banyak pengetahuan termasuk menunggu maklumat. Apabila
berada di institusi pengajian tinggi, mereka terpaksa bekerja keras mencari
maklumat sendiri, tanpa bantuan guru. Justeru, sebahagian besar pelajar tidak
mampu berdikari dan akhirnya menemui kegagalan.
Justeru,
menurut mereka, hanya pelaksanaan pendidikan holistik pada peringkat awal mampu
melahirkan generasi muda serba boleh dan membantu perkembangan keseluruhan
pelajar dalam pelbagai aspek dan bukan sekadar kecemerlangan akademik. Pelaksanaan
pendidikan secara holistik perlu membabitkan penyertaan pelbagai pihak termasuk
pelajar, guru, ibu bapa, masyarakat dan kerajaan sebagai usaha memastikan
generasi muda memperoleh manfaat sepenuhnya. Ini kerana pendidikan holistik
atau menyeluruh bukan menekankan kecemerlangan akademik semata-mata tetapi
membabitkan perkembangan dan peningkatan potensi lain dalam diri setiap
pelajar.
Selaras
dengan dasar pendidikan yang baru diumumkan kerajaan, Pelan Induk Pembangunan
Pendidikan (PIPP), Pelan Integriti Nasional (PIN) dan seperti yang dihasratkan
dalam Misi Nasional. satu langkah yang boleh dibuat ialah dengan menerapkan
pendidikan secara holistik bersama-sama dengan pendidikan arus perdana yang
tersedia ada. Penulis amat bersetuju dengan
langkah awal yang dilaksanakan oleh kerajaan memperkenalkan Pentaksiran
Berasaskan Sekolah (PBS) bagi menggantikan sistem peperiksaan sedia ada yang
juga sebahagian daripada Program Transformasi Pendidikan. Ini kerana Sistem PBS
adalah salah satu usaha kerajaan melalui Kementerian Pelajaran membangunkan
modal insan secara holistik dengan menekankan penguasaan ilmu pengetahuan,
modal intelektual, pembudayaan sikap progresif dan pengamalan nilai, etika dan
moral yang tinggi. PBS merupakan satu pentaksiran bersifat holistik yang
dianggap berkemampuan menilai aspek kognitif (intelek), efektif (emosi dan
rohani) dan psikomotor (jasmani) selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan
dan Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR).
Selaian
daripada itu, Untuk mengubah sistem pendidikan sedia ada kepada pendidikan
holistik, metodologi pengajaran sangat penting dan guru perlu dilatih
melaksanakan proses pengajaran dan pembelajaran membabitkan penyertaan pelajar
secara aktif, bukan sekadar pendengar dan menghafal apa yang diajar. Justeru, kurikulum
yang dirancang juga harus diarahkan untuk mencapai tujuan pembentukan manusia secara
holistik. Pendidikan holistik dapat diaplikasikan dalam proses pembelajaran
dengan beberapa cara, diantaranya dengan menerapkan Integrated Learning atau pembelajaran terintergrasi atau terpadu iaitu
suatu pembelajaran yang menggabungkan berbagai elemen yang berkaitan holistik
dalam satu bidang pembelajaran. Tujuan pembelajaran ini adalah agar pelajar
memahami kaitan di antara satu elemen dengan elemen lainnya, iaitu antara satu
mata pelajaran dengan mata pelajaran lain yang boleh diaplikasikan dengan
pengalaman hidup mereka.
Dalam
pendidikan holistik, guru juga harus memainkan peranan utama mereka dengan
mengubah sifat yang hanya memimpin dan mengawal, tetapi harus menunjukkan sikap
sebagai kawan, mentor, fasilitator, atau seorang teman yang berpengalaman
kepada pelajar mereka (Forbes, 1996). Kesinambungannya, guru juga harus
mengajar mengikut metodologi pembelajaran yang berbeza dan berpusatkan murid.
Kerana cara pembelajaran setiap individu adalah berbeza. Dengan itu, metodologi
pengajaran juga perlulah bersesuaian dengan keupayaan setiap individu bagi membantu
mereka memperolehi pengalaman, kebijaksanaan dan keyakinan diri dalam
menghadapi cabaran di masa hadapan. Tambahan pula, sektor pekerjaan juga
memerlukan warga mahir yang bukan saja memiliki pengetahuan tetapi individu
bersifat holistik yang mampu menyelesaikan permasalahan selain boleh
berinteraksi dengan baik dan bekerjasama dalam satu kumpulan.
Walaubagaimanapun, Sekolah ataupun institusi pendidikan juga hendaklah menjadi
tempat pelajar dan guru bekerja secara kondusif agar mencapai tujuan yang
saling menguntungkan. Di mana, dapat mewujudkan suasana komunikasi yang terbuka
dan jujur, serta menghargai perbezaan individu yang wujud dan mengutamakan
sifat kerjasama berbanding sifat untuk bersaing.
Pendidikan
holistik juga menganjurkan beberapa strategi yang boleh dijadikan panduan untuk
menangani persoalan bagaimana untuk mengajar seseorang dan bagaimana seseorang
itu belajar. Idea holistik itu sendiri menyokong kepada pendidikan yang
dilaksanakan secara transformasi bukannya melihat pendidikan sebagai satu
proses penghantaran ilmu dan penerimaan
ilmu semata-mata. Pembelajaran transformasi melibatkan perubahan yang dapat
dijana oleh pemikiran pelajar itu sendiri. Perubahan ini dipengaruhi oleh
pandangan mata , tabiat minda, dan persepsi mereka terhadap dunia. Dengan erti
kata mudah, pelajar dapat menjana ilmu, nilai-nilai murni dan pengalaman
pembelajaran yang mereka terima dan mengaplikasikan dengan kehidupan harian
mereka. Dengan itu dapat disenaraikan
beberapa perkara yang boleh dipertimbangkan dalam mengembangkan strategi
pembelajaran holistik, antaranya ialah menggunakan pendekatan pembelajaran
transformatif, prosedur kurikulum pembelajaran yang fleksibel, penyelesaian
masalah melalui lintas disiplin ilmu, pembelajaran yang bermakna dan, pembelajaran
yang melibatkan persekitaran individu itu berada.
Secara
keseluruhannya, perubahan haruslah dilakukan untuk mencapai satu sistem
pendidikan yang dapat melahirkan insan yang tabah menghadapi cabaran,
bertamadun, serta mampu mendukung pembangunan di masa hadapan, berakhlak mulia,
mempunyai sifat kerohanian yang tinggi dan nilai-nilai moral masyarakat.
Justeru itu, untuk melestarikan sistem pendidikan yang sedia ada, tindakan
harus diambil dengan mewujudkan pembelajaran yang mampu mengembangkan potensi
indidivu berbanding akademik semata-mata. Pengajaran dan pembelajaran secara
menyeluruh dan holistik yang diterapkan di dalam sistem pendidikan negara
secara tidak langsung dapat membantu mengatasi kebejatan sosial masyarakat
Malaysia. Selain itu, pendidikan holistik yang dilaksanakan secara bersepadu
membantu negara melahirkan golongan yang bukan terpelajar, tetapi juga
mempunyai pakej lengkap sekali gus penyumbang ke arah pembangunan negara.
0 comments:
Post a Comment